Monday 16 April 2018

Sekatan Jalanraya

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Gara-gara mahu meloloskan diri daripada sekatan trafik, beberapa penunggang motosikal bertindak melawan arus sehingga mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain.Malah ada segelintir penunggang motosikal hampir melanggar  kereta dari arah bertentangan untuk melarikan diri selepas melihat anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, aksi tersebut tidak patut dilakukan kerana boleh membahayakan orang lain.

"Jika mereka tidak mempunyai lesen, maka mereka akan berpatah balik apabila melihat penguat kuasa di hadapan.

"Sekiranya sudah melanggar undang-undang perlulah menghadapi kesannya. Jangan lari sehingga bahayakan orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian  selepas Operasi Khas Motosikal Sempena Tahun Baharu Cina siri empat di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini malam tadi.

Sementara itu, Shaharuddin berkata,  operasi sempena Tahun Baharu Cina yang bermula pada 14 hingga 23 Februari ini di seluruh negara itu turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen.

Tambahnya, fokus diberikan kepada motosikal pada 14 hingga 19 Februari lalu iaitu sebanyak 4,010 kesalahan menunggang tanpa lesen dicatatkan.

"Selain itu, turut direkodkan sebanyak 4,800 kesalahan cukai jalan tamat tempoh, 621 kes kesalahan teknikal seperti lampu dan brek gagal berfungsi serta 10 kesalahan tidak memakai topi keledar.

"Tujuan kami menjalankan operasi ini bukanlah mencari kesalahan sahaja tetapi lebih kepada mendidik penunggang-penunggang motosikal mengenai pentingnya mematuhi undang-undang," jelasnya.

Terdahulu, sebanyak 1,220 kenderaan diperiksa dengan 305 kesalahan dikenal pasti membabitkan 277 notis saman dikeluarkan pada operasi siri empat itu.

Sebanyak 135 kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, 158 kesalahan tiada cukai jalan, 10 kesalahan teknikal dan dua lain-lain kesalahan dicatatkan pada operasi itu.

No comments:

Post a Comment

KPDNKK

MENYEDARI kepentingan ilmu berkaitan kepenggunaan dan cetak rompak amat penting, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepen...