Monday, 16 April 2018

Isu Myvi



KUALA LUMPUR 16 April - Perusahaan Otomobil Na­sional Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan terus membekalkan alat ganti bagi model Myvi melalui barisan pengeluaran alat ganti baharunya di Tanjung Malim, Perak.

Dikendalikan oleh vendor Pe­rodua, IQM Sdn. Bhd. di Proton City, Tanjung Malim, kilang itu akan menghasilkan komponen ba­dan seperti penutup enjin, pintu, dapra, panel sesiku dan bumbung.

Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Takahashi Masanori berkata, demi keselamatan, keselesaan dan ketenangan fikiran pelanggan, pihaknya memberikan komitmen untuk terus mengeluarkan komponen berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan bagi kenderaan Perodua mereka.

“Kami memilih pembekalan luar bagi pengeluaran komponen Myvi generasi kedua kerana ki­lang pengeluaran kami sudah berada pada kapasiti puncak.

“Sebagai pengeluar komponen Viva sejak pengeluaran model yang berakhir pada 2014, IQM menjadi pilihan yang tepat untuk projek ini,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Selain daripada generasi kedua kereta Myvi dan Viva, komponen-komponen tulen generasi pertama Myvi, Kelisa dan juga Kancil akan terus dihasilkan oleh vendor Malaysia.

Menurut Masanori, masih terdapat ramai pengguna Myvi generasi kedua dengan sebanyak 519,000 buah jenama itu telah dikeluarkan dari Mei 2011 hingga Oktober 2017.

“Buat masa ini, barisan pengeluaran alat ganti di IQM Tanjung Malim menghasilkan komponen badan berikutan permintaan yang tinggi.

“Komponen enjin untuk Myvi generasi kedua terus dihasilkan di PMSB di Rawang, manakala bahagian-bahagian lain dihasilkan oleh pelbagai vendor,” jelasnya.

Perodua dan IQM telah membina hubungan yang kukuh sejak beberapa tahun lepas, berdasarkan kepercayaan, kualiti dan ke­setiaan kepada pelanggan.

No comments:

Post a Comment

KPDNKK

MENYEDARI kepentingan ilmu berkaitan kepenggunaan dan cetak rompak amat penting, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepen...